Geografi kemunculan Dajjal berdasarkan Hadis

- Advertisement -

LATAR belakang

(1)     Sebelum ini saya telah menyiarkan Hadis-hadis yang berkaitan dengan tanda-tanda kemunculan Dajjal. Iaitu muncul di saat dunia berhadapan dengan konflik.

Dalam masa yang sama, dunia ketika itu diselubungi kebuluran dan peperangan. Jika kita duduk di Malaysia, kita merasakan masih aman.

Tetapi apabila kita melihat realiti-realiti negara yang ditindas, kita akan lihat bahawa Dajjal itu seakan-akan sudah semakin hampir kemunculannya.

(2)     Di dalam artikel ini, insyaAllah akan membincangkan mengenai tempat kemunculan Dajjal dan kawasan-kawasan yang bakal ‘diziarahi’ olehnya.

Sebelum itu kita perlu tahu bahawa Dajjal itu muncul dalam keadaan marah, kerana proksi-proksinya selama ini tidak lagi boleh diharap. Antara tanda kemunculannya ialah keringnya bekalan air di Palestin.

(3)     Persoalannya, dari manakah arah kemunculannya? Maka, mari kita meneliti beberapa Hadis yang disebutkan mengenai tempat kemunculannya;

- Advertisement -



عَنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ قَيْسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا : أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: أَلاَ إِنَّهُ فِي بَحْرِ الشَّأْمِ أَوْ بَحْرِ الْيَمَنِ ، لاَ بَلْ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ وَأَوْمَأَ بِيَدِهِ إِلَى الْمَشْرِقِ

“Daripada Fatimah binti Qais, Rasulullah S.A.W bersabda: “Ketahuilah bahawa ia (Dajjal) sedang berada di Laut Syam, atau Laut di Yaman. Tidak, bahkan ia akan muncul dari arah Timur, itulah arahnya. Dari arah Timur, itulah tempat kemunculannya. Dari arah Timur, itulah tempat kemunculannya. (sambil menundingkan jarinya ke arah Timur)”

(Shahih Muslim: 5235)



Kawasan Iran dan Iraq

(1)     Di dalam Hadis tadi, menyatakan bahawa kemunculan Dajjal dari arah Timur. Masing-masing boleh lihat peta, dan lihatlah garisan Timur Madinah. Arah itulah Dajjal muncul;



عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: يَخْرُجُ الدَّجَّالُ مِنْ هَاهُنَا (وَأَشَارَ نَحْوَ الْمَشْرِقَ)

“Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: Dajjal akan muncul dari arah ini (sambil menundingkan jari ke arah Timur)”

(Shahih Ibnu Hibban: 6792)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ أَبَا القَاسِمِ الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: يَخْرُجُ أَعْوَرُ الدَّجَّالِ مَسِيْحُ الضَّلاَلَةِ قِبَلَ الْمَشْرِقِ فِيْ زَمَنِ اخْتِلاَفِ مِنَ النَّاسِ وَفِرْقَةٍ،

“Daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata: Aku mendengar Abu Qasim yang berkata benar, dan dipercayai Nabi Muhammad S.A.W bersabda: Dajjal yang bermata cacat dan menyesatkan akan keluar dari arah Timur, ketika berlakunya perpecahan di kalangan manusia…”

(Majma’ Zawa’id: 12543)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَيَنْزِلَنَّ الدَّجَّالُ خُوزَ وَكَرْمَانَ فِي سَبْعِينَ أَلْفًا وُجُوهُهُمْ كَالْمَجَانِّ الْمُطْرَقَةِ

Daripada Abu Hurairah R.A, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: Dajjal akan tiba di Khuz dan Karman bersama 70 000 orang tentera. Wajah mereka seperti berlapis-lapis.”

(Musnad Imam Ahmad: 8099)



Khuz (atau Khuzastan) dan Karman adalah dua daerah yang terletak di Iran. Begitulah kesimpulan daripada huraian di dalam معجم البلدان


عَنْ سَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ ، قَالَ : قَالَ أَبُو بَكْرٍ : هَلْ بِالْعِرَاقِ أَرْضٌ يُقَالُ لَهَا خُرَاسَانُ ، قَالُوا : نَعَمْ ، قَالَ : فَإِنَّ الدَّجَّالَ يَخْرُجُ مِنْهَا

“Daripada Sa’id bin Musayyib: Saidina Abu Bakar R.A berkata: Adakah terdapat di Iraq satu tempat yang bernama Khurasan? Mereka berkata: Ya.. Beliau berkata: Sesungguhnya Dajjal akan keluar dari arah sana”

(Musnad Ibnu Abi Syaibah: 38654)



Lokasi-lokasi yang diisyaratkan

(1)     Di dalam Hadis-hadis yang lain, Nabi S.A.W bersabda;



عَنْ أَبَي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ، أَنَّهُ قَالَ : يَخْرُجُ الدَّجَّالُ مِنْ مَرْوَ مِنْ يَهُودِيَتِهَا

“Daripada Abu Bakar R.A, beliau berkata: Dajjal akan keluar dari Marwa, dari kalangan Yahudi yang terdapat di sana.”

(Kanzul Ummal: 27948)



Di dalam Hadis ini, menceritakan bahawa Dajjal itu datang dari Marwa yang terletak di Khurasan. Boleh rujuk gambar;



عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ الدَّجَّالُ مِنْ يَهُودِيَّةِ أَصْبَهَانَ مَعَهُ سَبْعُونَ أَلْفًا مِنْ الْيَهُودِ عَلَيْهِمْ السيجان

“Daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: Dajjal akan muncul dari kalangan Yahudi Asfahan, turut bersama dengannya sebanyak 70 000 orang Yahudi yang memakai selendang hitam (atau berpakaian serba hitam).”

(Musnad Imam Ahmad: 13344)

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ : يَخْرُجُ الدَّجَّالُ مِنْ كُوثِى ، أَرْضٌ بِالْعِرَاقِ

“Daripada Abdullah bin Amr R.A, beliau berkata: Dajjal akan keluar dari Kuthi, di bumi Iraq.”

(Musannif Ibnu Abi Syaibah: 38693)



(2)    Apabila kita merujuk kepada Hadis Nabi S.A.W, tempat-tempat kemunculan Dajjal antaranya ialah, Timur, Kuthi, Iraq, Asbahan, Marwa, Khuz, Kirman dan sebagainya. Secara terperincinya tempat-tempat tersebut ialah:

a-     Asbahan, juga dipanggil Asfahan. Tempat ini terletak di Parsi, iaitu Negara Iran.

b-     Kuthi adalah sebuah tempat di Iraq.

c-      Khuz adalah sebuah bangsa yang hidup di Karman. Iaitu tempat yang terletak di Iran.

d-     Marwa pula adalah sebuah daerah di Iran. Ada yang berpendapat ia adalah negeri terbesar di Iran.

Laluan perjalanan

(1)     Apa yang dapat disimpulkan ialah perbezaan tempat-tempat tersebut menunjukkan arah perjalanannya. Di dalam Hadis lain menyebut:



عَنْ النُّوَّاسِ بْنِ سَمْعَانَ الكِلاَبِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ ؛ قَالَ : ذَكَرَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم الدَّجَّالَ ذَاتَ غَدَاةٍ … فَذَكَرَ الْحَدِيثَ بِطَوْلِهِ ، وَفِيْهِ : إِنَّهُ خَارِجٌ خَلَّةً بَيْنَ الشَّامِ وَالْعِرَاقِ ، فَعَاثَ يَمِيْنًا وَعَاثَ شِمَالاً ، يَا عِبَادَ اللهِ فَاثْبُتُوا

“Daripada Nuwwas bin Sam’an al Kilabi R.A, beliau berkata: Satu hari, Rasulullah S.A.W bercerita mengenai Dajjal, lalu menyebutnya dengan panjang lebar.. di antara yang disebut ialah: “Sesungguhnya ia (Dajjal) muncul di antara Syam dan Iraq, lalu dia merosakkan apa yang di sekitarnya.. Wahai hamba-hamba Allah, teguhkanlah peganganmu…”

(Kanzul Ummal: 38740)



(2)     Apabila dibandingkan dengan Hadis-hadis yang lain, kita akan mendapati bahawa serangan Dajjal dilakukan disekitar kawasan Negara Arab.

Iaitu di antara Syam dan Iraq, dan beberapa kawasan lain yang menjadi laluannya, sepertimana yang dinyatakan tadi. Jika disusun lokasi lokasi itu, kita akan dapati ia umpama satu garisan laluan.

(3)     Kedudukan Syam ialah longitudnya dari Sungai Euphrates (Furat) sehingga Sungai Arisy. Manakala latitudnya ialah dari Banjaran Teh, hingga Laut Mediterranean.

Manakala Iraq pula sepertimana yang diketahui, iaitu di tengah-tengah di antara Negara Jordan, Syria dan Iran. Maka, kemunculan yang pertama ialah di Negara Iran, kemudian Dajjal akan berjalan ke Iraq dan masuk ke kawasan Syam.

Seterusnya menuju ke Madinah, tetapi dihalang oleh para Malaikat, dan terus ke Makkah. Di sana juga Dajjal tidak dibenarkan masuk oleh para Malaikat yang berkawal.

Kawasan yang diserang

(1)     Sebelum ini telah disebut bahawa Dajjal akan melakukan operasi serangan terhadap umat Islam di Negara-negara Arab. Yang mana, hari ini sedang pun bergolak.

Adakah Dajjal akan menyerang seluruh dunia? Adakah negara-negara lain tidak dihadiri oleh Dajjal? Perkara ini akan diperincikan di sini, insyaAllah;



رَوَاهُ البُخَارِيُّ وَمُسْلِمُ ، قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَيْسَ مِنْ بَلَدٍ إِلَّا سَيَطَؤُهُ الدَّجَّالُ إِلَّا مَكَّةَ وَالْمَدِينَةَ لَيْسَ لَهُ مِنْ نِقَابِهَا نَقْبٌ إِلَّا عَلَيْهِ الْمَلَائِكَةُ صَافِّينَ يَحْرُسُونَهَا ثُمَّ تَرْجُفُ الْمَدِينَةُ بِأَهْلِهَا ثَلَاثَ رَجَفَاتٍ فَيُخْرِجُ اللَّهُ كُلَّ كَافِرٍ وَمُنَافِقٍ

“Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah S.A.W bersabda: Tiada satu negara pun tidak dikunjungi (atau diserang) oleh Dajjal, melainkan Makkah dan Madinah.. dan tiada laluan pun yang ditemui melainkan terdapat Malaikat yang berbaris sedang berkawal. Lalu, Dajjal singgah di sebuah ladang, lalu menggegarkan (menyeru penduduk) Madinah sebanyak 3 kali. Maka, keluarlah semua orang kafir dan munafiq dari situ.

(Shahih Bukhari: 1748)



(2)     Makkah dan Madinah adalah kawasan yang diharamkan bagi orang kafir. Maka, di dalam Hadis ini bermaksud orang munafik yang menyembunyikan kekafiran mereka. Wallahua’lam.

Di dalam Hadis yang akan disebut selepas ini, menceritakan mengenai kunjungan Dajjal ke Makkah, dan Dajjal melakukan perkara yang sama untuk menarik penduduk Makkah dan Madinah dari luar.

(3)     Di dalam Hadis ini juga jelas menunjukkan bahawa semua negara akan dikunjungi oleh Dajjal. Kunjungan Dajjal tersebut dengan membawa bantuan makanan dan sebagainya.

Hal ini akan diceritakan di dalam artikel lain yang bertajuk Fitnah-fitnah Dajjal. Ketika itu, semua manusia sedang menghadapi krisis kebuluran yang teruk.

Kawasan yang dipelihara

(1)     Semua negara akan dikunjungi oleh Dajjal melainkan Makkah dan Madinah. Di dalam riwayat lain mengatakan bahawa tempat yang tidak dapat dimasuki oleh Dajjal sebanyak empat, iaitu:



عَنْ جُنَادَةَ بْنِ أَبِي أُمَيَّةَ أَنَّهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : وَإِنَّهُ يَلْبَثُ فِيكُمْ أَرْبَعِينَ صَبَاحًا يَرِدُ فِيهَا كُلَّ مَنْهَلٍ إِلَّا أَرْبَعَ مَسَاجِدَ مَسْجِدَ الْحَرَامِ وَمَسْجِدَ الْمَدِينَةِ وَالطُّورِ وَمَسْجِدَ الْأَقْصَى

“Daripada Junadah bin Abi Umayyah, Nabi S.A.W bersabda: Sesungguhnya Dajjal akan hidup di dunia selama 40 hari, dia akan menyerang semua tempat melainkan empat tempat, iaitu: Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Bukit Sinai, dan Masjidil Aqsa.”

(Musnad Imam Ahmad: 22572)



(2)     Empat kawasan tersebut ialah:

a-     Masjidil Haram yang dimaksudkan di sini ialah Makkah

b-     Masjid Nabawi ialah Madinah

c-     Masjidil Aqsa ialah Baitul Maqdis

d-     Bukit Sinai

Maka, sudah jelas bahawa semua tempat dikunjungi olehnya melainkan beberapa tempat yang telah disebutkan. Dajjal akan mengunjungi seluruh dunia dengan membawa bekalan makanan di era kebuluran.

(3)     Sebarang pertanian dan sistem saliran tidak wujud, tetapi dengan kunjungan Dajjal, manusia tempat tersebut akan mendapat semua bantuan ini.

Tetapi dengan syarat menerima ketuhanan Dajjal ini. Dajjal akan mempublisiti dirinya dengan mengunjungi semua negara. Kenderaan yang digunakan ialah keldai bertelingan panjang.

InsyaAllah mengenai kenderaan Dajjal dan fitnah-fitnahnya akan dihuraikan dalam artikel lain insyaAllah. Yang pasti, zaman itu adalah zaman yang mencabar.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 13/1/2020

- Advertisement -