GAMIS beri amaran kepada Dong Zong

    - Advertisement -

    KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) memberi amaran kepada Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang secara nyata dilihat cuba untuk menjentik Perlembagaan Persekutuan.

    - Advertisement -

    Presidennya, Saifullah Baiduri berkata, tindakan Dong Zong secara jelas bertentangan dan menyalahi Akta Pendidikan 1996 selain bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 yang menyatakan tulisan bahasa kebangsaan adalah tulisan jawi.

    Saifullah dalam kenyataannya memberi amaran kepada Dong Zong supaya tidak berani mencuba untuk meneruskan apa-apa himpunan berbaur rasis untuk mengenepikan apa yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

    Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan di Himpunan Aman Bangkit Pertahan Jawi dan Haramkan Dong Zong yang diadakan di perkarangan Sogo, di sini, hari ini

    Amaran itu diberikan susulan Dong Zong nekad mengadakan persidangan membabitkan tulisan jawi setelah Kementerian Pendidikan bertegas untuk tetap memperkenalkan pembelajaran tulisan jawi sebanyak tiga muka surat di sekolah-sekolah vernakular di Malaysia.

    Bagaimanapun, persidangan tersebut dibatalkan setelah Dong Zong menerima perintah mahkamah daripada pihak polis supaya membatalkannya, sehari sebelum himpunan tersebut dijadualkan pada 28 Disember lalu.

    Tidak berputus asa, Dong Zong bersama 17 persatuan Cina lain kemudiannya menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan tindakan polis membuat permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah larangan itu.

    Dong Zong yang tidak berpuas hati dengan perintah larangan itu menggunakan alasan hak kebebasan untuk berhimpun dan bersuara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Himpunan Aman Bangkit Pertahan Jawi dan Haramkan Dong Zong mendesak beberapa perkara termasuk segera mengharamkan Dong Zong selain menekan supaya pembelajaran tulisan jawi diperkeknalkan di sekolah-sekolah vernakular.

    Katanya hak ini kerana, ia bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan
    yang menyatakan jawi adalah sebahagian daripada Bahasa Melayu selain diyakini dapat memupuk semangat perpaduan kaum.

    Selain itu, Gamis turut menuntut supaya semua pihak menghormati Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti mana yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan mengajak seluruh rakyat memelihara dan menjaga perpaduan antara kaum dan agama serta mengecam pertubuhan pelampau seperti Dong Zong.

    Disamping itu, satu memorandum akan diutuskan kepada Permaisuri Raja Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar al-Haj bagi memohon untuk mempertahan kedaulatan tulisan jawi dan mengatasi pihak-pihak yang cuba menghapuskan warisan Negara.

    Malah demi memperkasakan lagi hasrat mengahramkan Dong Zong, satu Himpunan Mega rakyat akan diadakan untuk mendesak supaya pertubuhan itu segera diharamkan. – HARAKAHDAILY 1/1/2020

    - Advertisement -