Khidmat Malaysia tutup operasi bencana banjir

- Advertisement -

PUSAT Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) dengan ini ingin memaklumkan bahawa Operasi Bencana Banjir yang telah bermula sejak 29 November yang lalu secara rasmi ditutup pada hari ini. 

Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira keadaan banjir yang telahpun beransur pulih melibatkan beberapa buah negeri iaitu negeri Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Melaka, Sabah dan Sarawak. Negeri yang terjejas teruk dalam bencana banjir pada kali ini adalah Negeri Kelantan, Johor dan Terengganu.

Sepanjang operasi bencana ini, bantuan seperti makanan dan minuman pakaian hasil daripada sumbangan pelbagai pihak termasuk individu telah berjaya diagih-agihkan kepada mangsa banjir di negeri-negeri yang terlibat. Begitu juga dengan operasi mencuci dan membersihkan kediaman penduduk yang terkesan daripada bencana banjir telah berjaya dilaksanakan.

Pihak kami juga telah menerima sumbangan wang ringgit dalam kempen ops. banjir ini termasuklah kempen 5,000 kampit beras seberat 5 kilogram walaupun tidak berjaya mencapai angka yang disasarkan tetapi telah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan daripada semua.

Saya mewakili Khidmat Malaysia ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya kepada Lajnah Kebajikan PAS, Jabatan Amal, Briged Muslimat dan NGO yang bersama kami seperti Yayasan Amal, Muslim Care, Syabab Care dan NGO-NGO lain yang turut membantu menjayakan operasi bencana banjir ini.

Terima kasih juga kepada para penyumbang sama ada daripada kumpulan mahupun individu yang sudi membantu kami. 

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi baik dikenang jua.

Sekian, wassalam.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Ketua Pengarah
Khidmat Malaysia Pusat
31 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 31/12/2019

- Advertisement -
- Advertisement -