DAP mahu kebebasan bersuara tanpa batasan?

- Advertisement -

SELEPAS Timbalan Menteri Undang-undang PAN, Hanipa Maidin, kini pakar Perlembagaan DAP pula bersuara membantai polis.

Kata Dr Abdul Aziz Bari, tindakan polis menghalang Dong Jiao Zong dari berkongres adalah salah dan Peguam Negara perlu membetulkannya.

Kata beliau lagi, semua undang-undang yang menyekat kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan mestilah dikaji semula dan dimansuhkan.

Ini diikuti pula oleh kenyataan SUHAKAM yang memandang serius tindakan kerajaan menafikan hak Dong Jiao Zong dengan membatalkan persidangan mereka kerana ini dibimbangi boleh menyebabkan pencabulan hak asasi rakyat Malaysia.

Kata SUHAKAM, persidangan Dong Jiao Zong seharusnya dibenarkan untuk diteruskan bagi memenuhi hak kebebasan berhimpun dan bersuara yang amat penting bagi merealisasikan sebuah demokrasi yang bebas dan terbuka.

Saya pelik dengan semua yang bercakap ini kerana mereka bercakap seolah-olah kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan adalah sesuatu yang mutlak, sedangkan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sendiri ada 12 sekatan ke atas kebebasan ini, termasuk keselamatan, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam dan prinsip moral.

Malah, mengikut Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, sekatan ke atas kebebasan bersuara ini ada pada lima tempat lain dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu:

Perkara 11(4):     Mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
Perkara 11(5):     Ketenteraman awam, kesihatan awam dan prinsip moral.
Perkara 149:     Perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam, dsb.
Perkara 150:     Proklamasi darurat.

Para 1 Senarai II Jadual Kesembilan:     Pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu.

Oleh itu, apa yang dilakukan oleh polis, iaitu menghalang Dong Jiao Zong dari berkongres atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam, adalah jelas masih berada dalam lingkungan sekatan ke atas kebebasan bersuara yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dan, jika mahu dimansuhkan semua undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara seperti yang dimahukan oleh DAP melalui Dr Aziz Bari ini, bukan sahaja semua undang-undang ini (yang ada kira-kira 35 mengikut kiraan Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, termasuk Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman, Kanun Keseksaan, Akta Penapisan Filem dan Akta Fitnah) yang perlu dimansuhkan, tetapi semua 17 sekatan ke atas kebebasan bersuara yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan juga perlu dimansuhkan sama.

Tetapi inikah yang kita mahukan, iaitu kebebasan bersuara tanpa batasan?

Dan di manakah suara pemimpin kerajaan yang menyokong tindakan polis?

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 30/12/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -