Syria sejuk membeku, mengapa kita berpangku lengan?

- Advertisement -

KRISIS kemanusiaan pasca Arab Spring semakin memburuk di khemah pelarian Syria di sempadan Lubnan, juga sebelah Jordan terutama dengan kedatangan musim sejuk yang menggigit tulang temulang. Jutaan pengungsi warga syria yang lari daripada konflik berdarah Syria semenjak lapan tahun lalu berhadapan dengan situasi yang paling getir apabila musim sejuk menyerkap mereka dengan kekurangan makanan, pakaian, selimut, alat pemanas dan ubatan.

- Advertisement -

Kemuncak musim sejuk dengan suhu mencecah minus belasan sangat mendera para pengungsi yang tak pasti bilakah kubangan darah di tanahair mereka akan berhujung. Kemuncak musim sejuk dengan salju putih memenuhi kawasan pengungsian seolah berada di kutub Utara, timbunan salju sehingga beberapa kaki ini juga mengheret duka pelarian. Data kematian akan meningkat setiap hari terutama kanak-kanak, bayi dan warga emas, malah kelaparan luar biasa yang dialami sehingga ada yang terpaksa memakan tikus dan kucing seperti yang pernah berlaku seawal setahun dua krisis Syria.

Kerajaan Jordan tak mampu menyediakan kemudahan terbaik untuk para pelarian kerana jumlah pelarian yang meningkat mendadak selepas setahun krisis Syria, malah merasakan pengungsian sebagai liabiliti kepada negara kerana meningkatkan kos negara daripada sudut keselamatan dan lain-lain lagi. Pernah berlaku kepada seorang tokoh NGO di Jordan, Dr Solah yang terlibat dengan jaringan Ikhwan telah dikawal pergerakannya dalam membantu pelarian.

Pelarian Syria yang berada di sempadan Turki agak bernasib baik kerana keprihatinan kerajaan Pimpinan Erdogan yang menyediakan ruang yang lebih baik untuk pelarian. NGO antarabangsa seperti IHH juga menfokuskan dengan baik untuk bantuan pelarian Syria seperti mewujudkan sekolah-sekolah untuk anak pelarian di Rayhanli. Regim Bashar pernah melepaskan air empangan ke Antakia kerana berang dengan sikap kerajaan Turki yang dilihat seolah campurtangan dalam soal pengungsi dari Syria.

Penulis berpeluang banyak kali mengikuti misi bantuan Muslim Care ke sempadan Turki dan juga Jordan yang merupakan jiran Syria . Termasuk misi membantu pelarian Syria di benua Eropah seperti di negara Austria, Republik Chech dan Jerman. Rombongan Muslim Care membawa bantuan musim sejuk seperti selimut tebal, pakaian sejuk, makanan dan sebagainya dan paling penting mempunyai enam buah sekolah pelarian Syria. Seramai 22 000 anak-anak pelarian telah mengikuti pendidikannya sekolah Muslim Care Malaysia. Menurut Haji Zulkifli Wahijan,sekolah-sekolah pelarian mendapat pengiktirafan daripada UNICEF.

Rombongan MCM ini diketuai oleh pimpinan secara bergilir-gilir dan turut disertai oleh relawan daripada anak seni,asatizah ternama, aktivis bantuan kemanusiaan serta pelajar kampus. Antara badan kebajikan yang pernah berkolaborasi dengan MCM seperti Persatuan Kakitangan Islam Maybank(PKIMB), Badan Kebajikan Islam Petronas dan selebriti tanahair seperti Afdlin Shauki, Aziz M.Osman, Ustaz Syed Abd kader, Fazli UNIC, Ali XPDC, Izo XPDC, Heliza Helmi, Salima Habibi. Insyaallah pada bulan 2020, misi akan disertai oleh Dato dr Norhafizah Musa dan Dr Azhar Yaakob.

Dibantu oleh teman-teman relawan Muslim Care di Jordan, Muslim Care Eropah, Muslim Care Mesir yang terdiri daripada aktivis kampus, anak-anak muda ini ringan tulang membantu misi .pelbagai acara dan program-program yang dilaksanakan ialah seperti membeli belah pakaian keperluan bersama anak-anak yatim pelarian, majlis serahan bantuan musim sejuk kepada ribuan keluarga, program motivasi pelajar, menyantuni pelarian di khemah pelarian Dasina yang tidak mendapat bantuan daripada pihak luar. Setiap tahun acara korban untuk pelarian Syria diterajui oleh Ustaz Nazmi Abdul Karim, malah MCM juga mempunyai pisat ternakan lembu di Rayhanli, sempadan Turki-Syria.

Berada di khemah pelarian sangat menginsafkan, dengan suhu belasan darjah celcius dan dijangka suhu diparas minus apabila kemuncak musim sejuk. Khemah pelarian tanpa kemudahan yang lengkap, bahkan mereka bekerja di kebun tanaman rakyat tempatan Jordan semata-mata untuk mendapatkan bekalan eletrik dan juga air. Rombongan Muslim Care berjaya memberikan senyuman untuk anak-anak pelarian apabila agihan makanan ringan serta menyantuni mereka dengan bernasyid . Jelas tergambar riak gembira pada guratan wajah pelarian apabila menerima barang keperluan musim sejuk. Setiap tahun apabila musim sejuk menjelang, maka berita kematian seolah menjadi perkara rutin, terutama anak-anak kecil pelarian.

Muslim Care Malaysia tidak pernah lelah dan akan terus memberikan komitmen berterusan untuk membantu saudara akidah terutama di musim sejuk yang sangat menggigit tulang. Bantuan rakyat Malaysia sangat besar maknanya kepada mereka, luka dan sakit mereka adalah nestapa kita yang pasti dipertanggungjawabkan dihadapan Rabbul Jalil. Jom, kita membantu!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR – HARAKAHDAILY 28/12/2019

- Advertisement -