K’jaan digesa tarik balik pemansuhan elaun kritikal

- Advertisement -

PENGUMUMAN Kerajaan berkenaan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bagi penjawat awam dalam sektor kesihatan mengecewakan banyak pihak terutama doktor dan jururawat dan ia langsung tidak munasabah.

- Advertisement -

Hal ini kerana, berdasarkan Laporan Audit Negara, seramai 1 daripada 3 doktor mengalami simptom ‘burnout’ dengan bilangan pesakit terlalu ramai iaitu sebanyak 145 buah hospital dengan bilangan pesakit mencecah sehingga 8 juta pesakit setahun.

Saya khuatir dengan pemansuhan elaun kritikal ini menyebabkan lebih ramai doktor pakar yang dihantar belajar ke luar negara memilih untuk terus berkhidmat di sana berbanding berkhidmat di Malaysia sekaligus kualiti perkhidmatan sektor kesihatan semakin terjejas.

Ironinya, sehingga kini, isu separuh daripada pegawai perubatan hanya ditawarkan lantikan kontrak, isu lambakan graduan perubatan dan penempatan latihan siswazah yang tidak seiring dengan keperluan yang masih lagi belum diselesaikan.

Justeru, saya menggesa agar Kerajaan segera menarik balik pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bagi penjawat awam sektor kesihatan dan segera menyelesaikan masalah-masalah utama yang sedang dihadapi oleh sektor kesihatan bukan dengan menambah lagi beban sedia ada demi kesejahteraan hidup rakyat.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 26/12/2019

- Advertisement -