SRI Al-Hasanah ungguli UPKK Daerah

    - Advertisement -

    PARIT BUNTAR: Seramai 23 murid Sekolah Rendah Islam Al-Hasanah meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2019.

    Mudir SRI Al-Hasanah, Shafii Ismail berkata, tahun ini seramai 29 calon yang menduduki UPKK di sekolah itu.

    “Daripada jumlah itu, seramai 23 murid memperoleh keputusan cemerlang 8A, seorang murid memperoleh 6A, 4 murid memperoleh 5A dan seorang murid lagi memperoleh 3A.

    Sebanyak lapan subjek telah diambil oleh calon UPKK iaitu Amali Solat, Penghayatan Cara Hidup Islam, Bidang al-Quran, Ulum Syariah, Pelajaran Jawi dan Khat, Sirah, Adab dan Lughatul Quran.

    Sekolah di bawah kelolaan PAS ini menunjukkan peningkatan prestasi yang cemerlang pada tahun ini dengan peratus kelulusan 100 peratus, sekali gus dinobatkan sebagai Sekolah Terbaik UPKK 2019 di daerah ini.

    Sementara itu, daripada 717 calon UPKK, Ahmad Darwisy Ubaidullah Mohd Jorazley pelajar SRI Al-Hasanah, telah dianugerahkan Pelajar UPKK Terbaik Lelaki Daerah Parit Buntar dengan markah keseluruhan 99 peratus.

    Dalam pada itu, Shafii berkongsi tips kejayaan bersama murid-murid di dalam majlis penyerahan slip keputusan UPKK hari ini.

    “Hadirkan diri ke sekolah dengan niat kerana Allah dan laksanakan kewajipan asas Islam dengan baik. Doa, usaha, ikhtiar dan akhir sekali  tawakal perlu dipraktikkan di dalam diri setiap murid,” ujar beliau semalam. – HARAKAHDAILY 21/12/2019

    - Advertisement -
    - Advertisement -