‘Back to School’ ADUN G Semanggol meriah

- Advertisement -

TAIPING: Mengambil kesempatan cuti persekolahan hujung tahun, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Gunung Semanggol telah menganjurkan program sumbangan ‘Back to School’ di Kedai Pakaian Busana Ridzuan Simpang, di sini.

- Advertisement -

Inisiatif ini bagi meraikan 63 pelajar yang dirai dalam suasana ceria ditemani ibu bapa dan penjaga di mana mereka terdiri daripada golongan asnaf yang akan memulakan sesi persekolahan seawal tahun baru 2020 bakal tiba.

Program ini merupakan program kali kedua di mana sebelum ini usaha yang sama telah diadakan sewaktu sambutan Karnival Ulang Tahun PAS Ke-68 diadakan di Markas PAS Gunung Semanggol pada 24 November lalu.

Setiap penerima diberikan kupon bernilai RM80 di mana mereka boleh memilih sendiri sama ada baju, kasut atau lain-lain tidak melebihi jumlah yang ditetapkan.

Salah seorang penerima dari Kampung Air Itam yang lebih mesra dikenali ‘Acu Halim’ menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Pusat Khidmat Adun khususnya Razman Zakaria dalam menyantuni golongan kurang berkemampuan.

Razman ketika ditemubual memberi pengharapan akan berusaha memperbanyakkan lagi bentuk bantuan dan juga penerima yang layak untuk mendapat bantuan di masa akan datang.

“Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang membantu. Insya-Allah tahun depan kita akan usaha supaya lebih banyak lagi bantuan, supaya banyak pihak lagi yang merasa. Setakat ini kita hanya boleh bagi satu keluarga satu sahaja,” ujarnya.

Program turut diraikan oleh Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Bagan Serai, Ahmad Mokhtar dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya DUN Alor Pongsu, Zulkifli Ahmad.

Program dimeriahkan lagi dengan sumbangan tambahan beg sekolah untuk setiap penerima disampaikan oleh Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak. – HARAKAHDAILY 21/12/2019

- Advertisement -