Inisiatifkan bayar tunggakan sewa melalui kerja komuniti

- Advertisement -

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nur Hisham A. Dahlan, pada pada 24 Ogos lepas mengumumkan bahawa tunggakan penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) setakat 1 Julai tahun ini adalah RM58 juta.

Beliau juga memberitahu seramai 26,000 dari 46,000 penyewa unit di PPR dan PA mempunyai tunggakan.

Di dalam laporan-laporan akhbar harian terdapat penyewa yang memberitahu tunggakan ini berlaku kerana mereka tidak mempunyai pekerjaaan dan gaji mereka tidak mencukupi.

Dengan itu REACH mencadangkan agar penyewa-penyewa yang tidak mampu diberi peluang membayar tunggakan mereka dengan melakukan kerja-kerja komuniti.

Di antara kerja-kerja komuniti itu adalah;

(1)     Membersihkan kawasan, bangunan surau, dewan orang ramai, kemudahan awam dan sebagainya.
(2)     Melakukan rondaan keselamatan dan kerja-kerja pengawasan.
(3)     Mengecat bangunan, pagar, tingkap, pintu dan sebagainya.
(4)     Mengajar kanak-kanak mengaji dan Fardhu Ain.
(5)     Mengajar kemahiran yang mereka miliki kepada penduduk lain.
(6)     Menjaga pejabat PPR atau PA.
(7)     Bertugas di kaunter aduan.
(8)     Menemankan atau membantu warga emas.
(9)     Membantu mengendalikan program-program komuniti seperti goyong-royong dan karnival.
(10)     Membantu mengendalikan kelas tuisyen.

Bagaimanapun ada banyak lagi kerja-kerja yang boleh dilakukan bergantung kepada keperluan setempat.

Kerajaan yang akan menetapkan bilangan jam kerja yang perlu dilakukan untuk setiap bulan tunggakan sewa. Contohnya seorang penyewa perlu melakukan 20 jam kerja komuniti untuk membayar tunggakan bagi 1 bulan sewa.

Skim ini dicadangkan untuk mereka yang gagal membayar sewa kerana menghadapi masalah kewangan. Bagi mereka yang enggan membayar tanpa sebarang sebab perlu diambil tindakan seperti yang dilakukan sekarang oleh kerajaan.

Skim ini memberi peluang kepada penyewa yang terlibat melunaskan tunggakan mereka sebelum kedudukan kewangan mulai stabil. Ia juga satu peluang kepada mereka untuk menyumbang kepada masyarakat.

Ketika PAS bersama di dalam Kerajaan Negeri Selangor dan saya adalah Exco Perumahan, skim yang sama telah dilaksanakan di salah satu PPR di Selangor. Walau bagaimanapun ia tidak berjaya sepenuhnya kerana kuasa yang ada pada Kerajaan Negeri adalah terhad. Kami yakin dengan kuasa yang ada pada Kerajaan Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur skim ini boleh berjaya.

REACH juga berpandangan Program Karnival Kerjaya yang dianjurkan oleh pihak kerajaan adalah program jangka panjang yang penting untuk membantu penyewa mendapat pekerjaan dan perlu diperhebatkan.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan / Resource Centre For The Advancement Of The Community And Housing (REACH) – HARAKAHDAILY 20/11/2019

- Advertisement -
- Advertisement -