TEKUN, SKM kenapa tiada tambahan peruntukan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Skim Latihan Siswazah memainkan peranan merangsang sosio-ekonomi negara.

- Advertisement -

Penekanan wajar digariskan oleh kementerian-kementerian yang terlibat supaya objektif penubuhan ketiga-tiga entiti ini tidak disia-siakan.

Justeru itu, Che Alias Hamid (PAS – Kemaman) menuntut penjelasan kerajaan berhubung peruntukan untuk TEKUN, SKM dan tiada pertambahan peruntukan kepada Skim Latihan Siswazah.

“Saya difahamkan TEKUN telah menyediakan pembiayaan perniagaan berjumlah RM56 bilion kepada 435, 995 orang usahawan dalam pelbagai sektor perniagaan termasuk 27,917 orang yang merupakan usahawan baru.

“Oleh itu saya ingin bertanya sejauh mana sambutan pemohon-pemohon Bumiputera khususnya yang berada di luar bandar dan berstatus mikro khususnya anak-anak muda,” ucapnya.

Beliau berucap demikian dalam perbahasan Dewan Rakyat, peringkat Jawatankuasa Kementerian Pembangunan Usahawan (KPUN) pada Isnin lalu.

Beliau berharap kerajaan memberi penekanan secara proaktif dengan insiatif program melalui pengurusan koperasi (SKM) yang peranannya menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya ingin mengetahui dengan peruntukan yang diterima dalam pengurusan koperasi yang semakin meningkat iaitulah sebanyak RM1.1 juta, apakah usaha kementerian dalam menggarapkan rakyat melibatkan diri dalam koperasi secara aktif dan agresif,” ucapnya.

Mencelah ucapan Che Alias, Ahli Dato’ Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkata, program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) satu program baik untuk siswazah dibangunkan oleh kerajaan sebelum ini.

“TUBE ini adalah program yang sangat baik dan ia juga dapat melatih siswazah di dalam program itu.

“Program itu telah menunjukkan kejayaan antaranya dia berada dalam kem-kem latihan selama dua minggu, diajar tentang teori perniagaan seminggu dan seminggu lagi ialah dari segi ketahanan fizikal.

“Selepas itu siswazah yang terpilih itu kena buka syarikat kemudian diberikan geran sebanyak RM15,000 untuk mulakan perniagaan,” celah Ahmad Maslan.

Namun katanya TUBE tidak diberi perhatian oleh kerajaan. – HARAKAHDAILY 18/11/2019

- Advertisement -