Rakyat tolak PH makin meluas

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sehingga sekarang Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula dua kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

- Advertisement -

Pada Mac lepas, BN merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih, Selangor melalui Zakaria Hanafi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan berikutan kematian penyandangnya.

Beliau mendapat 19,780 undi menewaskan tiga lagi pencabar termasuk calon Pakatan Harapan (PH), Mohammad Aiman Zainali.

BN menang dengan majoriti 1,914 undi. Sedangkan pada PRU lepas Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor dari PH menang dengan majoriti 8,964 undi.

Ternyata ia sesuatu yang luar biasa. Malah lebih aneh lagi PRK Tanjung Piai BN berjaya melonjakkan majoriti kepada 15,086 undi, berbanding dimenangi Allahyarham Dato’ Dr Md Farid Rafik dengan majoriti 524 undi.

Mengulas perkembangan itu Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah berkata, kekalahan besar PH pada PRK Tanjung Piai, menggambarkan penolakan rakyat terhadap PH semakin membesar.

“Ia membuktikan penolakan rakyat terhadap PH apabila calonnya kalah lagi dalam siri PRK pasca PRU14.

“Label kerajaan PH sepenggal dibuktikan rakyat di Tanjung Piai pula kali,” katanya di sini.

Pada PRK Tanjung Piai kelmarin, Dato’ Sri Dr Wee Jeck Seng memperolehi sebanyak 25,466 undi, jauh mengatasi calon PH, Kharmaine Sardini yang mendapat 10,380 undi. (Foto atas: Wee Jeck Seng mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai di Dewan Rakyat, hari ini.)

Di ALOR SETAR, Pesuruhjaya PAS Kedah Ustaz Ahmad Yahaya berkata, kemenangan BN membuktikan kejayaan Muafakat Nasional memberi isyarat rakyat mulai menolak PH.

“Rakyat semakin muak dengan pemimpin PH yang ternyata gagal melaksanakan janji-janji mereka selepas diberi mandat pada PRU lepas,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2019

- Advertisement -