Anak PASTI dididik jadi penyelamat keluarga

- Advertisement -

TAMBUN: PASTI Al-Aisar Medan Klebang Restu dengan kerjasama PAS Cawangan Medan Klebang Restu telah meraikan pelajar cemerlang dalam sambutan akhir tahun di perkarangan unit PASTI tersebut, di sini baru-baru ini.

- Advertisement -

Seluruh murid yang menduduki tempat pertama, kedua dan ketiga di setiap kelas di dalam peperiksaan akhir tahun telah diraikan dalam majlis ini bagi memberikan penghargaan ke atas kejayaan mereka.

Selain itu, seorang murid yang menerima Anugerah Cemerlang Wakil Pelajar ke Peperiksaan Kawasan Tambun, Dzulhafiz Dzafril Dzulkifli yang mendapat tempat ke-2 dalam peperiksaan tersebut turut diraikan.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun, Ustaz Mohd Hafez Sabri menyatakan, ibu bapa yang menghantar anak-anak ke PASTI sangat beruntung kerana mereka diajar untuk menjadi penyelamat kepada ibu bapa mereka suatu hari nanti.

Sambungnya lagi, beliau menyatakan bahawa kebanyakan alumni PASTI terbukti telah berjaya mengorak langkah termasuk menyumbang tenaga dan jasa untuk agama dan mengharumkan nama negara.

“Hal ini membuktikan, sistem pendidikan PASTI yang diusahakan oleh Dewan Pemuda PAS berjaya membentuk masyarakat yang berakhlak dan menjadi golongan profesional sekali gus golongan yang terkehadapan dalam memperjuangkan agama,” ujarnya yang juga merupakan bekas pelajar PASTI.

Terdahulu, Pengurus Unit PASTI Al Aisar, Ustaz Imam Baihaqi Hassan menyatakan bahawa setiap ibu bapa yang menghantar anak-anak ke PASTI semestinya mengimpikan pearis mereka menjadi insan yang bertakwa disamping cemerlang pencapaian akademik.

“Penerapan pendidikan agama yang mantap amat penting bagi menyelamatkan anak-anak agar tidak hanyut dengan arus pemodenan yang kini dihambat pelbagai cabaran fahaman Barat,” ujarnya di dalam ucapan mewakili ibu bapa pelajar PASTI.

Kehadiran penuh pelajar dan ibu bapa memeriahkan lagi majlis ini di mana kebanyakan juadah adalah dibawa secara ‘pot luck’ oleh keluarga yang hadir dan pihak PASTI Al-Aisar menerima tajaan dua khemah daripada ibu bapa PASTI bagi menjayakan majlis ini.

Turut hadir menjayakan majlis ini, Ketua PAS Zon Klebang, Ustaz Rosli Azizan dan Pengerusi PASTI Tambun, Ustaz Mohd Shahrul Abd Manap serta Ketua PAS Medan Klebang Restu, Khairi Ramli serta Ahli Jawatankuasa PAS Medan Klebang Restu. – HARAKAHDAILY 18/11/2019

- Advertisement -