Tg Piai: Muafakat tolak politik bohong, fitnah PH

- Advertisement -

TAHNIAH kepada Dato Seri Dr. Wee Jeck Seng kerana memenangi PRK Tanjung Piai dengan smajoriti yang cukup besar sebanyak 25,446 undi berbanding kekalahan pada PRU14 yang lalu sebanyak 524 undi. Ini menunjukkan rakyat memberi mesej jelas yang mereka sudah menolak PH secara total atau lebih tepat lagi hayat kerajaan PH besar berkemungkinan hanyalah sepenggal.

- Advertisement -

Hari ini sudah mula terpapar keretakan ketara di kalangan parti komponen PH dengan masing – masing mula menuding jari akibat kekalahan tersebut. Sudah kedengaran suara sumbang menggesa Tun Dr. Mahathir meletakkan jawatan akibat kekalahan tersebut dengan mengatakan beliau adalah penyebab utamanya. Tambahan pula calon Bersatu yang bertanding PRK kali ini, boleh dikatakan ramai yang sudah mula menudung jari ke arah Bersatu dan Tun Dr. Mahathir.

Namun kekalahan tersebut bukan milik Tun Dr. Mahathir dan Bersatu kerana jika dikaji dengan teliti banyak faktor utama lain yang menyumbang kepada kekalahan PH pada PRK kali ini.

  1. Muafakat Nasional.

Muafakat Nasional yang diketengahkan oleh PAS – UMNO berjaya meyakinkan rakyat untuk memilih BN pada PRK kali ini. Sentimen anti bukan Melayu yang cuba dimainkan oleh PH terutamanya DAP kali ini tidak berjaya. Jika benar sentimen anti bukan Melayu yang dimainkan oleh DAP berjaya, masakan ramai orang bukan Melayu mengundi BN terutamanya kaum Cina. Malah jumlah undi orang Melayu juga turut meningkat mengundi BN. Saya amat berharap Muafakat Nasional akan menjadi satu blok yang kuat dan berjaya menawan hati rakyat terutamanya jika disertai oleh MCA mahupun MIC.

  1. Peralihan Kuasa.

Salah satu faktor utama yang memualkan pengundi ialah bicara peralihan kuasa di antara Tun Dr. Mahathir dan Anwar Ibrahim. Ramai yang berpendapat Tun Dr. Mahathir perlu menghabiskan penggal pemerintahan Kerajaan PH sebagai Perdana Menteri untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul berdasarkan pengalamannya sebagai Perdana Menteri terutamanya ketika kegawatan ekonomi lalu.

Namun di kalangan parti komponen PH terutamanya pimpinannya lebih gemar berbicara mahupun “ BERSILAT “ tentang peralihan kuasa berbanding membantu Tun Dr. Mahahtir untuk mengemudi negara. Lebih banyak bicara soal itu tetapi nasib rakyat tetap sama malah lebih teruk dari dahulu. Fokus kebajikan rakyat yang sepatutnya menjadi tumpuan utama namun mereka lebih sibuk bicara peralihan kuasa.

Kelembapan Ekonomi.

Di antara janji PH dalam manifestonya atau janji ketika PRU yang lalu ialah kemakmuran ekonomi pada negara dan rakyat namun sehingga sekarang keadaan masih tidak berubah. Tambahan pula dengan suasana kelembapan ekonomi dunia dan konflik perdagangan di antara US dan China, kesukaran ini jelas membimbangkan rakyat akan masa depan mereka. Budget 2020 yang lalu tidak nampak dengan jelas aspirasi Kerajaan PH untuk meningkatkan pendapatan negara mahupun rakyat. Tiada pakej ransangan ekonomi samada untuk negara mahupun rakyat untuk menaik taraf ekonomi negara. Hutang negara semakin meningkat dengan begitu besar namun Kerajaan PH gagal untuk mengetengahkan sumber pendapatan baru untuk kerajaan dan negara. Bolehlah dinyatakan Menteri Kewangan gagal mengemudi ekonomi negara ke arah yang lebih baik selain daripada menyalahkan kerajaan lalu sebagai alasan utamanya.

Gagal Melunaskan Janji Manifesto.

Manifesto PH pada PRU lalu sebenarnya hanya gula – gula kepada rakyat untuk memenangi hati mereka mengundi PH. Jelas sekarang PH tidak mampu melunaskannya serta tahu mereka tidak mampu berbuat demikian namun untuk menang PRU, mereka tetap meneruskannya yang pada saya jelas ia perbuatan menipu rakyat. Tol masih dibayar, tiada penghapusan PTPTN, minyak tidak turun, kos sara hidup tidak turun, gaji minima bukan RM1500, tidak mampu sediakan jumlah pekerjaan seperti dijanjikan dan banyak lagi janji yang tidak ditunaikan.

Isu Petani, Nelayan, Peneroka dan Harga Sawit.

Isu petani, nelayan, peneroka dan harga sawit turut menjadi sebab utama kekalahan PH di PRK Tanjung Piai kerana ia masih menjadi sumber utama pendapat penduduk tempatan. Kegagalan Kerajaan PH untuk menstabilkan harga sawit dan kempen seperti minum minyak sawit yang disifatkan sebagai cubaan politik murahan untuk menarik perhatian rakyat terutama kepada peneroka gagal membantu PH. Kejatuhan harga sawit yang teruk menyebabkan ramai peneroka beralih arah pada PRK ini. Nasib petani dan nelayan masih lagi tidak dibela seperti yang dijanjikan PH. Kegagalan PH untuk membantu nelayan dan petani serta mengotakan janji yang diutarakan ketika PRU yang lalu juga adalah punca kekalahan PH.

Pengundi Kaum Cina.

Swing undi kaum Cina kali ini memberi tamparan hebat kepada PH. Pengundi kaum Cina yang memberikan kemenangan kepada PH pada PRU lalu banyak beralih kepada BN. Ini bermakna kaum Cina yang dilihat menolak MCA dan beralih kepada DAP pada PRU lalu telah kembali menyokong MCA dan BN. Ini petanda jelas menunjukkan kaum Cina mula meninggalkan DAP dan tidak lagi menyokong agenda mereka yang dilihat merugikan kaum Cina dan agak ekstrem berbanding MCA.

Di PDM yang majoriti pengundinya kaum Cina pada PRU lalu yang di menangi PH, kali ini PDM tersebut dimenangi BN dengan jumlah yang besar. Cubaan DAP untuk menggunakan Muafakat Nasional sebagai umpan untuk menjauhkan pengundi kaum Cina juga tidak berjaya. Apa yang jelas kali ini, pengundi Cina memberikan isyarat bahawa mereka sudah mula meninggalkan DAP. Lebih memburukkan keadaan, PH kalah disemua PDM di Tanjung Piai.

DAP Punca Kekalahan PH.

PRK Tanjung Piai adalah isyarat awal rakyat menolak PH secara total terutamanya pengundi kaum Cina. Swing pengundi kaum Cina yang menolak MCA dan beralih kepada DAP pada PRU yang lalu dilihat sudah kembali kepada asal. Boleh disifatkan, DAP gagal mengekalkan sokongan kaum Cina supaya kekal mengundi PH. Maka bolehlah disifatkan, pengaruh DAP keatas kaum Cina sudah mula berkurangan. Nescaya jika DAP berjaya mengekalkan undi kaum Cina terhadap PH, mungkin PH tidak kalah atau jika kalah tidak begitu teruk.

Sebenarnya kegagalan PH pada PRK kali ini adalah disebabkan DAP kerana DAP gagal mengekalkan undi kaum Cina. Sikap DAP dan pimpinannya juga turut menyebabkan pengundi Melayu meninggalkan PH kerana tidak selesa dan percaya pada DAP. DAP sebenarnya adalah punca kekalahan utama PH di Tanjung Piai kali ini kerana pengundi Melayu dan kaum Cina sudah tidak mempercayai DAP. Berbaloikah rakyat Malaysia mempertaruhkan masa depan mereka kepada DAP ? Jawapannya tidak.

Tolak DAP, Aman dan Makmur Negara.

YB Muhammad Khalil Abdul Hadi.
AJK PAS Pusat.
ADUN Batu Burok.

- Advertisement -