PAS dan MCA Kuala Langat mula bina perkenalan

    - Advertisement -

    KUALA LANGAT: PAS Kawasan Kuala Langat diketuai Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor telah mengadakan kunjungan perkenalan ke Pejabat MCA Kuala Langat, di sini semalam.

    - Advertisement -

    Pertemuan ini bertujuan untuk mengenali dan merapatkan hubungan dengan MCA Kuala Langat yang merupakan salah satu parti komponen dalam BN.

    Ianya juga merupakan satu manifestasi pengukuhan hubungan antara kaum yang diterjemahkan hasil kerjasama ke arah penyatuan ummah bersama dengan Umno.

    Dato’ Dr Yunus Hairi dan Ketua MCA Bahagian Kuala Langat, Dato’ Ei Kim Hock menyifatkan kepimpinan kedua-dua parti telah berjaya mengadakan pertemuan yang cukup bersejarah ini.

    Dalam ucapannya, Dato’ Dr Yunus mengajak seluruh ahli PAS dan anggota MCA untuk membuka lembaran baru dalam mengeratkan hubungan antara MCA dan parti komponen BN yang lain.

    “Setiap kaum berperanan memperjuangkan kebajikan kaum ke arah suasana yang lebih harmoni.  Perkara ini telah diterjemahkan dengan jayanya oleh Kerajaan PAS Kelantan dalam memelihara kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan pelbagai kaum,” ujar beliau.

    Selain itu, PAS katanya, akan menjadi peneraju kepada Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) khusus di Kuala Langat melalui politik fakta dan kebenaran sebagai tanggungjawab agar keharmonian Malaysia dapat dikecapi untuk generasi akan datang.

    Dalam pertemuan tersebut, Dato’ Ei Kim Hock menegaskan pendirian MCA sebagai sebuah parti yang memartabatkan dan menjaga kedaulatan Perlembagaan Malaysia.

    Beliau turut memberi penekanan terhadap usaha MCA ke arah membentuk sebuah negara yang maju dan stabil di bawah kepimpinan masyarakat pelbagai kaum.

    Justeru, beliau menyatakan sokongan yang kuat Penyatuan Ummah PAS dan Umno sekiranya muafakat ini akan memberi impak positif kepada masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

    Selain itu, MCA sangat berharap siri pertemuan yang berterusan di masa akan datang bagi merancang gerak kerja lebih tersusun serta membuang segala persepsi buruk terhadap PAS di dalam pemikiran masyarakat Cina.

    Dalam kesempatan pertemuan tersebut, wakil MCA berharap agar Dr Yunus dapat bangun memperjuangkan isu pencemaran kilang bateri di Jenjarom ke dalam Dun Selangor. – HARAKAHDAILY 10/9/2019

    - Advertisement -