PH tidur sebantal, mimpi lain-lain

- Advertisement -

PONTIAN: PAS meminta supaya pengundi di Parlimen Tanjung Piai untuk bersama-sama membuat perubahan di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut dengan memberi undi kepada calon BN, Dato’ Seri Wee Jeck Seng.

- Advertisement -

Saranan tersebut ditegaskan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa Ceramah Perdana di Bilik Gerakan BN, Dun Kukup di sini malam tadi.

Katanya, PAS menyokong penuh calon BN daripada MCA walaupun bukan Islam kerana barisan pembangkang kini majoritnya orang Melayu dan memerlukan kerusi bukan Islam yang tidak ekstrem.

“PAS turun di Tanjung Piai untuk berjanji sokong MCA bertanding di sini dan kepada pengundi perlu faham pilihan raya bukan kecil, besar maknanya untuk memberi isyarat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Sekarang kita barisan pembangkang majoriti besar orang Melayu sahaja, kita memerlukan kerusi bukan Islam tidak ekstrem. Kita perlu tolak parti ekstrem,” katanya diikuti laungan hadiri yang bersetuju dengan ucapan tersebut.

Menurutnya, walaupun PAS dan MCA berbeza pendapat dan saling mengkritik antara satu sama lain, namun bukan dalam satu pakatan atau gabungan.

Jelasnya, berbeza dengan DAP yang menghentam PAS dalam satu pakatan yang mana kedua parti tersebut pernah bersama dalam barisan alternatif dan Pakatan Rakyat sebelum ini.

Tambahnya, calon yang telah ditetapkan adalah mewakili semua rakyat di Tanjung Piai bukan hanya untuk satu kaum sahaja.

Sementara itu, katanya bahawa pergolakan yang berlaku dalam PH kini sebagai tanda untuk melakukan perubahan.

“Kita menyedari PH yang banyak parti-parti tidurnya sebantal, mimpinya lain-lain tidak ada persefahaman.

“Bagaimana nak perintah negara sampai satu penggal. Dengan tanda ini marilah sama-sama buat perubahan,” ujarnya.

Turut hadir bersama, Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Dato’ Seri Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC,Dato’ Seri M Saravanan; Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan; Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa dan barisan kepimpinan PAS dan Umno negeri Johor.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru membabitkan calon GERAKAN, Wendy Subramaniam diikuti calon BN, Dato’ Seri Wee Jeck Seng; calon Bebas, Dr Ang Chuan Lok; calon PH, Karmaine Sardini; Presiden BERJASA, Dato’ Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan calon Bebas, Faridah Aryani Abdul Ghafar.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Dato’ Dr Md Farid Md Rafik daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

- Advertisement -