PAS Teluk Intan santuni mangsa banjir Cgkt Jong

- Advertisement -

TELUK INTAN: PAS Kawasan Teluk Intan telah menyantuni mangsa banjir dari beberapa kampung di Changkat Jong yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, di sini pagi kelmarin.

- Advertisement -

Pelbagai aktiviti diadakan terutama khidmat sosial melibatkan senaman, gotong-royong memasak, sembang santai dan kuiz sempena Maulidur Rasul serta pelbagai lagi.

Rombongan PAS dipimpin oleh Ketua Muslimat PAS Teluk Intan, Ustazah Rabi’atun Mohd Abas dan turut hadir Pengerusi Lujnah Kebajikan PAS Teluk Intan, Ustaz Lutfi Shamsudin dan Ketua Ameerah PAS Teluk Intan, Iffah Kamilah Khushairi.

Manakala ahli-ahli lain yang turut hadir telah bersama menyumbang tenaga memasak secara gotong royong bagi menyediakan makanan tengahari, sementara ahli Ameerah memulakan aktiviti senaman bersama wanita serta kanak-kanak untuk kecergasan diri.

Setakat kelmarin masih terdapat seramai 161 mangsa banjir dari beberapa kampung ditempatkan PPS sejak 29 Oktober lepas di mana terdapat 233 mangsa sepanjang tempoh tersebut.

Tinjauan mendapati mangsa banjir dipindahkan ke PPS ini ekoran gelombang kedua banjir selepas kali pertama bermula pada 20 hingga 27 Oktober lepas.

Ustazah Rabi’atun dalam sembang santainya berkata, kehadiran ahli PAS membantu sebagai prihatin atas nasib golongan yang ditimpa musibah, di mana aktiviti diadakan bukan semata mengisi masa lapang tetapi dapat menghubung silaturahim.

Beliau mengingatkan masyarakat segala perkara baik dan buruk yang berlaku dalam kehidupan manusia datangnya dari Allah dengan sifat An-Naafi’u dan Ad-Dhaaru.

“Kerana itu bagi orang-orang beriman, apabila didatangi ujian dalam kehidupan mereke akan sabar dan redha serta menyerah segala urusan hidupnya kepada Allah,” ujarnya memetik ayat 44 surah al-Mukminun. – HARAKAHDAILY 4/11/2019

- Advertisement -