IT: Perlu kuasai perisian dan aplikasi terkini

    - Advertisement -

    BUKIT GANTANG: Para petugas PAS di setiap peringkat perlu menguasai perkembangan teknologi maklumat terkini khususnya perisian dan aplikasi yang dibangunkan oleh Jabatan IT dan Data Raya PAS Pusat.

    - Advertisement -

    Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Rahim Ismail menyatakan, PAS kini memiliki pelbagai perisian dan aplikasi bagi memantapkan pengurusan sistem maklumat dan data parti.

    Beliau merujuk kepada Sistem Semakan Daftar Pemilih (SSDP), Sistem Informasi Sepadu Pemilih, Rakyat & Organisasi (SiSPRO) dan Sistem Pengurusan Organisasi dan Keahlian PAS (SPOKAS).

    Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Bengkel Apps Pilihan Raya PAS Bukit Gantang yang diadakan di Markaz Tarbiah PAS Bukit Gantang, Kampung Bukit Chempedak, di sini semalam.

    Malah serunya, petugas-petugas PAS mesti sentiasa peka dengan data terkini Daftar Pemilih yang dikemaskini setiap empat kali setahun oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    “Dengan perisian yang kita miliki, tugasan dapat dilakukan dengan mudah dan terperinci. Persiapan kita menghadapi PRU akan datang perlu dimulakan sekarang di mana jentera di peringkat Parlimen, Dun serta Peti Undi perlu menyusun organisasi dan memulakan gerak kerja,” ujarnya.

    Bengkel dianjurkan oleh Jabatan IT dan Data Raya PAS Negeri Perak ini menghimpunkan kira-kira 80 petugas IT PAS Bukit Gantang di pelbagai peringkat yang berfokus kepada kemaskini data terkini SSDP serta pengenalan perisian SiSPRO dan SPOKAS.

    Para peserta bengkel turut menghadiahkan bacaan surah Al-Fatihah kepada Pegawai IT PAS Pusat, Allahyarham Abdullah Atan yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 4 Oktober yang lalu.

    Allahyarham merupakan individu penting dalam membangunkan pelbagai perisian dan aplikasi yang kini menjadi aset bernilai tinggi dan dimanfaatkan oleh jentera PAS di seluruh Malaysia. – HARAKAHDAILY 22/10/2019

    - Advertisement -