Taghutism: Perangai munafiq dan menentang Islam

- Advertisement -

TAGHUTISM idealogi pertentangan dengan Islam

Taghutism merujuk kepada idealogi yang mencari jalan untuk berlainan dengan Islam dengan maksud penentangan. Golongan ini mereka-reka apa sahaja untuk selesaikan masalah, asalkan bukan dengan jalan Islam. Banyak idealogi-idealogi yang ‘terkumpul’ di bawah aliran ini antaranya Feminisme, Liberalisme Sekularisme dan sebagainya. Apabila mereka nampak apa sahaja yang diperkenalkan oleh Islam, mereka cepat cepat menutup telinga dan mencari jalan lain sebagai penyelesaian atau undang-undang.

Perkataan ‘taghut’ disebut oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran sebanyak 8 tempat, iaitu [2], Surah al Baqarah : 256, Surah al Baqarah: 257, Surah an Nisa: 51, Surah an Nisa: 60, Surah an Nisa: 76, Surah al Maidah: 60, Surah an Nahlu: 36 dan Surah az Zumar: 17. Secara umumnya, taghut itu sendiri bermaksud ‘syaitan’, iaitu melampau ke arah kebatilan, kezaliman dan kejahatan, jauh daripada kebenaran, keadilan dan kebaikan [2].

Allah S.W.T berfirman:

- Advertisement -



ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ یُقَـٰتِلُونَ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ یُقَـٰتِلُونَ فِی سَبِیلِ ٱلطَّـٰغُوتِ فَقَـٰتِلُوۤا۟ أَوۡلِیَاۤءَ ٱلشَّیۡطَـٰنِۖ إِنَّ كَیۡدَ ٱلشَّیۡطَـٰنِ كَانَ ضَعِیفًا

“Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan Taghut (Syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut Syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah.”

(an Nisa: 76)



FirmanNya lagi:



أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِینَ یَزۡعُمُونَ أَنَّهُمۡ ءَامَنُوا۟ بِمَاۤ أُنزِلَ إِلَیۡكَ وَمَاۤ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ یُرِیدُونَ أَن یَتَحَاكَمُوۤا۟ إِلَى ٱلطَّـٰغُوتِ وَقَدۡ أُمِرُوۤا۟ أَن یَكۡفُرُوا۟ بِهِۦۖ وَیُرِیدُ ٱلشَّیۡطَـٰنُ أَن یُضِلَّهُمۡ ضَلَـٰلَۢا بَعِیدࣰا

“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakimkan kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.”

(an-Nisa: 60)



Sepertimana yang disebutkan, secara umumnya, perjuangan taghut adalah perjuangan yang menegakkan kezaliman, kebatilan dan kejahatan. Atau dengan kata lain, memperjuangkan apa sahaja asalkan bercanggah dengan Islam. Inti perjuangannya adalah menentang Islam dan perjuangan karut ini didukungi oleh mereka yang dalam hatinya kufur terhadap agama Allah S.W.T.

Ideologi dan perjuangan taghut

Imam Ibn Jarir at-Thabari menyatakan;



الصواب من القول عندي في الطاغوت أنه كل ذي طغيان على الله ،  فعبد من دونه ، إما بقهر منه لمن عبده ، وإما بطاعة ممن عبده له ، إنساناً كان ذلك المعبود ، أو شيطاناً أو وثناً أو صنماً أو كائناً ما كان من شيء

“Pandangan yang tepat di sisiku mengenai maksud taghut itu ialah apa sahaja yang melampaui Allah S.W.T. Maka ia menyeru sembah selain daripadaNya, sama ada dengan paksaan bagi mereka yang menyembahnya atau dengan kesetiaan daripada penyembahnya. Sama ada yang disembah itu adalah manusia, atau syaitan, atau patung, atau berhala, atau apa juga benda.”



Penyembahan taghut ini bermula dengan krisis idealogi sepertimana yang pernah saya tuliskan sebelum ini [3] [4]. Konsep penyembahan bukanlah hanya bermaksud sujud depan berhala, tetapi lebih kepada keyakinan bahawa berhala (idol) itu adalah segala-galanya. Sama seperti hari ini, contoh apabila seseorang meyakini bahawa akal mereka adalah segala-galanya, maka lahirlah golongan rasionalism.

Sekiranya diteliti perkataan المعبود sendiri bermaksud ‘sesuatu yang disembah’ contohnya golongan yang menjadikan nafsunya sebagai tuhan:



أَفَرَءَیۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمࣲ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَـٰوَةࣰ فَمَن یَهۡدِیهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ

“Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?”

(al-Jathiyah: 23)



Mungkin lebih mudah difahami dengan contoh mengabdikan diri kepada akal, mengabdikan diri kepada harta, mengabdikan diri kepada nafsu keinginan dan sebagainya. Iaitu menjadikan akal, harta dan nafsu sebagai matlamat hidup dan perjuangannya. Masanya dihabiskan dengan mengabdikan diri kepada akal untuk memikirkan penyelesaian yang bukan cara Islam.

Lalu lahirlah feminisme contohnya, apabila mendapati kaum perempuan ditindas. Lantas golongan feminis menyatakan penyelesaian hal ini dengan menyamaratakan perempuan dengan lelaki, dalam semua bab termasuk khatib solat Jumaat. Pluralism contohnya mengambil penyelesaian kepada isu kepelbagaian agama yang dianggap bermasalah, dengan menyamakan semua agama dari sudut prinsipnya.

Munafiq bercirikan Taghut dan dalih mereka

Berdasarkan ayat 76, Surah an Nisa, Dr Wahbah az Zuhaili menyatakan di dalam Tafsir Munir [1] bahawa perjuangan menegakkan ‘taghut’ ini ialah perjuangan yang mempunyai ciri-ciri berikut:

1.      Perjuangan yang mempunyai kepentingan

2.     Perjuangan yang bertujuan tertentu selain daripada Allah

3.      Perjuangan yang bersifat material

4.     Perjuangan yang bertujuan memuaskan nafsu dan kemahuan, redha dengan keraguan syaitan

5.     Perjuangan meninggikan ketuhanan selain daripada Allah, atau perjuangan menegakkan penyembahan kepada makhluk dan dunia

6.     Perjuangan yang membantu dan bekerjasama dengan golongan kuffar

7.     Perjuangan yang menggilakan untuk mendapat hasil dan mengaut untung

8.     Perjuangan yang didasari dengan tujuan kebanggaan dan kemegahan

9.     Perjuangan yang berdiri di atas keyakinan dengan kemampuan diri sendiri tanpa mengharap kuasa Allah

10.     Perjuangan yang menyerlahkan kemasyhuran dan populariti (populism)

Di dalam tafsir Surah an-Nisa’ ayat 60, sepertimana yang tertera di atas, para ulamak ada menceritakan sebab penurunan ayat tersebut yang perlu dijadikan iktibar, yang berkaitan dengan dalih orang munafiq yang berjiwakan taghut. Riwayat Ibn Abi Hatim daripada Abbas R.A menceritakan bahawa Jallas bin Somit, Mu’tib bin Qusyair, Rafi’ bin Zaid dan Bisyr, telah mendakwa bahawa mereka Islam.

Lalu ketika mana berlaku persengketaan di kalangan puak mereka, beberapa pemuda ingin membawa kes tersebut kepada Rasulullah S.A.W. Tetapi mereka (4 orang tersebut) menyuruh supaya kes ini dibawa kepada pemerintah-pemerintah Jahiliyyah. Maka, Allah S.W.T berfirman:



أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِینَ یَزۡعُمُونَ أَنَّهُمۡ ءَامَنُوا۟ بِمَاۤ أُنزِلَ إِلَیۡكَ وَمَاۤ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ یُرِیدُونَ أَن یَتَحَاكَمُوۤا۟ إِلَى ٱلطَّـٰغُوتِ

“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakimkan kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu…”



Kisah Kedua, riwayat Ibn Jarir daripada Asy Sya’biy, menceritakan bahawa pernah terjadi pertelingkahan di antara seorang berbangsa Yahudi, dan seorang munafiq. Lalu, si Yahudi tersebut berkata: Aku akan mengadili kamu kepada Nabi Muhammad S.A.W. Ini kerana dia tahu bahawa Nabi Muhammad S.A.W tidak akan menerima rasuah dalam menjatuhkan hukuman. Tetapi, si munafiq tadi tidak bersetuju, lalu mereka berpakat untuk bertemu paderi, hasil cadangan si munafiq tersebut.

Maka Allah S.W.T berfirman:



أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِینَ یَزۡعُمُونَ أَنَّهُمۡ ءَامَنُوا۟ بِمَاۤ أُنزِلَ إِلَیۡكَ وَمَاۤ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ یُرِیدُونَ أَن یَتَحَاكَمُوۤا۟ إِلَى ٱلطَّـٰغُوتِ

“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakimkan kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu..”



Ketegasan Saidina Umar terhadap taghut orang munafik

Di dalam riwayat yang lain, satu ketika, terjadi pertelingkahan di antara seorang Yahudi dan seorang munafiq. Lalu si Yahudi tersebut mencadangkan supaya kes ini di bawa kepada Nabi S.A.W. Tetapi si munafiq tadi menolak, lalu mencadangkan supaya kes ini dibawa kepada Kaab bin al Asyraf (Allah menggelarnya sebagai taghut). Tetapi si Yahudi tadi masih lagi bertegas ingin membawa kes ini kepada Nabi S.A.W, lalu dia pergi berseorang diri. Melihat perkara demikian, si munafiq tadi terpaksa akur dan mereka pergi, sehinggalah bertemu dengan Rasulullah S.A.W.

Munafiq tadi meminta supaya kes mereka diadili oleh Baginda S.A.W sendiri. Setelah dibicarakan, kes tersebut dimenangi oleh si Yahudi tadi. Lalu si munafiq tadi membawa si Yahudi tadi bertemu dengan Saidina Umar al Khattab pula, kerana tidak setuju dengan keputusan yang dibuat oleh Baginda S.A.W. Orang Yahudi tersebut berkata kepada Saidina Umar: “Kami telah bertelingkah, lalu kami telah mengadili kes ini kepada Rasulullah S.A.W, tetapi dia (si munafiq) ini tidak setuju dengan apa yang Rasulullah S.A.W putuskan. Jadi, disebabkan inilah kami datang bertemu kamu.”

Saidina Umar R.A bertanya kepada si munafiq tadi: “Benarkah apa yang dia katakan?” Si munafiq tadi berkata: “Ya”. Lalu Saidina Umar berkata: “Kamu berdua tunggu sebentar, sehingga aku datang”. Saidina Umar masuk ke dalam, dan membawa keluar pedangnya, lantas memancung si munafiq tadi. Saidina Umar berkata: “Inilah akibatnya mereka yang enggan berpuas hati dengan ketentuan Allah, dan apa yang telah Rasulullah putuskan”.

Lalu si Yahudi tadi lari daripada situ. Maka, Allah S.W.T berfirman:



أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِینَ یَزۡعُمُونَ أَنَّهُمۡ ءَامَنُوا۟ بِمَاۤ أُنزِلَ إِلَیۡكَ وَمَاۤ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ یُرِیدُونَ أَن یَتَحَاكَمُوۤا۟ إِلَى ٱلطَّـٰغُوتِ

“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakimkan kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu..”



Apabila berada di tampuk pemerintahan

Si munafiq yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya, akan terdedah ke’munafiq’kannya apabila mereka disuruh untuk mentaati Allah dan Rasul dengan sebenar-benarnya. Atau dengan kata lain, sifat munafiq seseorang akan terserlah apabila mereka disuruh untuk melaksanakan Undang-undang Allah. Walaupun dari segi luaran, mereka boleh saja mendirikan solat, membayar zakat dan berwatak sebagai seorang Muslim.

Tetapi apabila berada di tampuk pemerintahan, dan disuruh untuk melaksanakan Undang-undang Allah, mematuhi syariat dan sebagainya, mereka mula berdalih untuk tidak melakukannya. Bahkan mereka melaksanakan undang-undang yang bercanggah dengan Islam, inilah yang dikatakan berhakimkan dengan taghut sepertimana yang disebut di dalam Surah an-Nisa ayat 60 ini. Sedangkan mereka telah disuruh untuk beriman kepada Allah, dan menolak sebarang bentuk taghut.

Juga telah disebutkan, perjuangan taghut inilah yang memperjuangkan kebatilan, kejahatan dan kezaliman, sedangkan mereka telah diperintahkan untuk menolak bentuk taghut ini. Firman Allah S.W.T:



وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِی كُلِّ أُمَّةࣲ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُوا۟ ٱلطَّـٰغُوتَۖ فَمِنۡهُم مَّنۡ هَدَى ٱللَّهُ وَمِنۡهُم مَّنۡ حَقَّتۡ عَلَیۡهِ ٱلضَّلَـٰلَةُۚ فَسِیرُوا۟ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُوا۟ كَیۡفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلۡمُكَذِّبِینَ

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.”

(an-Nahlu: 36)



Taghutism dan idealogi-idealogi sonsang

Sepertimana yang saya katakan di awal tadi, tidak tepat sekiranya kita hanya menyandarkan ‘penyembahan kepada taghut’ itu semata-mata menyembah patung. Bahkan idealogi taghutism merosakkan masyarakat hari ini apabila ia ‘diperjuangkan’. Contohnya apabila kita melihat dari segi cara hidup, mereka ada memperkenalkan cara hidup tidak beragama. mereka meletakkan agama sebagai satu ikatan kejumudan.

Mereka menganggap bahawa untuk moden, mereka perlu liberalkan diri (membebaskan diri) daripada ikatan agama. Lalu mereka memperkenalkan Modernism. Contoh yang lain, apabila ada yang inginkan hidup beragama, mereka akan perkenalkan Islam cara progresif, kononnya melepaskan diri daripada suasana konservatif Islam. Lalu mereka perkenalkan Islam Liberal. Contoh yang lain apabila ada yang inginkan sistem kemasyarakatan yang terbaik, mereka akan perkenalkan sosialism.

Apabila ada orang kaya yang inginkan pengurusan bisnes yang terbaik, mereka akan perkenalkan kapitalism. Dan banyak lagi contoh-contoh taghutism yang diperjuangkan ini. Mereka mencari-cari apa jua jalan, asalkan bukan jalan Islam. Apabila orang-orang ini sudah terpengaruh dengan Modernism, Liberalism, Sosialism, Kapitalism dan banyak lagi, mereka akan mula mengenali dan berminat dengan taghut secara perlahan.

Mereka akan lebih kenal sistem konvensional berbanding Islam. Islam hanya dianggap ibadah individu, dan dosa pun dosa peribadi. Mereka letakkan zakat itu hanya sebagai ibadah sahaja, bukan sebagai satu sistem negara. Apabila seseorang itu bersolat dan membayar zakat, itu tiada masalah. Tetapi apabila seseorang itu memperjuangkan supaya zakat itu digazetkan sebagai sistem negara, mereka akan tentang, kerana ia bakal menghapuskan monopoli dan merobohkan kapitalis.

Sekularism dan pemerintahan taghut

Kita juga boleh lihat, apabila seseorang itu ingin menganut Islam ‘seorang-seorang’, mereka tiada masalah. Tetapi sekiranya seseorang itu memperjuangkan Islam untuk didaulatkan, mereka akan menentang. Apabila kita melihat perjuangan Nabi Muhammad S.A.W, kita akan dapati bahawa sebelum pengisytiharan kenabian di Makkah, sudah ada individu yang mengamalkan ajaran ‘al Hunafa’ yang anti kepada berhala.

Hal ini diceritakan oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang di dalam bukunya, Feqh Harakah. Antara yang mengamalkan ajaran tersebut ialah Zaid bin Amru bin Nufail, Waraqah bin Naufal dan Umayyah bin Abi Sallat. Mereka ini tidak ditangkap dan tidak diseksa pun oleh pembesar Makkah. Bahkan, Nabi S.A.W sendiri pernah bersolat bersama Saidina Ali dan Saidatina Khadijah di depan Kaabah yang masih dikelilingi berhala ketika itu, tanpa gangguan pembesar Makkah

Ibadat Nabi S.A.W ketika itu tidak ditentang oleh sesiapa pun. Bahkan, apabila ditanya mengenai ibadat tersebut, Baginda S.A.W menjawab seperti biasa, tiada masalah apa-apa. Namun, setelah Nabi S.A.W mengisytiharkan kenabian 3 tahun selepas dakwah secara sembunyi, Baginda S.A.W terus mendapat tentangan yang sangat dahsyat. Ini kerana pengisytiharan Baginda S.A.W adalah penerapan Islam sebagai sistem negara.

Justeru, ini menunjukkan bahawa pemerintahan yang terbina di atas dasar taghut, dilihat bertunjangkan Sekularism. Taghutism mereka itu dari sudut penentangan mereka terhadap sistem Islam. Mereka enggan melihat Islam itu ‘timbul’ di tengah-tengah kepincangan sistem yang mereka cipta. Penolakan mereka terhadap Islam supaya terbinanya ‘tembok penghalang’ [5] yang memenjara kebenaran.

[1]      Az Zuhaili, at Tafsir al Munir, Dr Wahbah Zuhaili, cet. 9, Maktabah Darul Fikr, tahun 2007

[2]     Al Mu’jam al Mufahras Li Alfazil Quran, Muhammad Fuad Abd Baqi, cet Darul Hadis, tahun 2001.

[3] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1195541537305984/

[4] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1194479970745474/

[5] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1182286795298125&id=251201991739948HARAKAHDAILY 19/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -