IPCMC: Untuk kukuh atau lemahkan PDRM?

IPCMC
- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong segala cadangan dan usaha untuk memartabatkan dan memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap institusi polis. Namun cadangan dan usaha tersebut hendaklah berperlembagaan, holistik dan bukannya bersifat memberi tekanan kepada anggota polis di dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka.

DPPM melihat usaha Kerajaan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019 (IPCMC) bukanlah suatu mekanisma terbaik untuk membentuk integriti dan ketelusan anggota polis. Sebaliknya RUU tersebut boleh melemahkan semangat anggota dan institusi PDRM itu sendiri.

RUU tersebut memberikan kuasa mutlak kepada Suruhanjaya untuk menerima dan menguruskan aduan, menjalankan penyiasatan, mempunyai kuasa tatatertib seterusnya kuasa untuk menjatuhkan hukuman sama ada amaran, denda, melucutkan hak emolument, menangguhkan pergerakkan gaji, menurunkan gaji, menurunkan pangkat atau buang kerja.

Sebaliknya RUU tersebut tidak menyatakan sebarang peruntukkan berhubung rayuan terhadap apa-apa hukuman atau keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya. Maka sebarang hukuman yang diputuskan oleh Suruhanjaya adalah muktamad, tidak boleh dicabar, dikaji, dibatalkan, dirayu atau di bawa ke Mahkamah.

Dengan menjadikan Suruhanjaya sebagai badan penyiasat, badan pendakwa dan pada masa yang sama sebagai badan kehakiman maka DPPM menegaskan ianya jelas bertentangan dengan prinsip asas undang-undang dan keadilan.

Selanjutnya pelantikan anggota Suruhanjaya dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong di atas nasihat Perdana Menteri. Maka adalah dipertikaikan sama ada Suruhanjaya tersebut benar-benar suatu badan bebas kerana ianya tertakluk kepada badan eksekutif iaitu Perdana Menteri.

Seorang yang pernah berkhidmat sebagai anggota perkhidmatan awam atau anggota pasukan polis juga tidak boleh dilantik menjadi anggota Suruhanjaya. Dengan melantik orang awam sebagai anggota Suruhanjaya maka DPPM menuntut apakah jaminan Kerajaan bahawa rahsia keselamatan negara yang dipegang oleh PDRM tidak akan terlepas kepada pihak ketiga?

DPPM menegaskan Kerajaan telahpun menubuhkan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dan di peringkat PDRM turut diwujudkan suatu jabatan dikenali Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) yang mempunyai peranan yang sama dengan IPCMC iaitu untuk memperkasakan PDRM dengan memantapkan integriti pegawai di samping memastikan tugas dilaksanakan dengan mematuhi standard yang telah ditetapkan.

Makanala Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) adalah Suruhanjaya yang ditubuhkan di bawah Perkara 140 (1) Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai tanggungjawab untuk menjalankan kawalan tatatertib ke atas anggota pasukan polis dan Fasal (6) memberikan kuasa kepada SPP untuk membuat apa-apa peruntukkan di dalam menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya tersebut.

Jika dilihat kepada kuasa dan tanggungjawab SPP tersebut maka ternyata ianya adalah sama dengan fungsi IPCMC sebagaimana yang dinyatakan di dalam seksyen 4 RUU tersebut iaitu menjalankan kawalan tatatertib, mengesan, menyiasat dan mencegah salah laku serta menggalakkan integriti dalam kalangan pasukan polis.

Oleh itu, DPPM mencadangkan agar pihak Kerajaan sepatutnya mengambil langkah untuk memperkasakan SPP dan JIPS di samping meningkatkan kebajikan anggota PDRM dan keluarga serta menambahbaik prasarana dan keperluan logistik anggota dan bukannya menubuhkan IPCMC semata-mata untuk memenuhi janji Manifesto PH.

IR. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 18/10/2019

- Advertisement -
- Advertisement -