Perang Dingin dan era globalisasi musuhi Islam

- Advertisement -

SOVIET dan persaingan dengan Barat

Di sebelah Timur pernah bangkitnya Kesatuan Soviet (USSR) sejak 1922. Nama-nama yang masyhur yang pernah mengemudi bahtera USSR antaranya Lenin, Stalin, Vladimir dan beberapa penama lagi. Keluasan empayar di Benua Asia dan Eropah ini menjadi pesaing kepada United States yang juga mempunyai cita-cita merebut piala kuasa dunia yang dikenali hari ini dengan nama Pax Americana.

Sebelum kemunculan Soviet, mereka didahului dengan Empayar Rusia yang jatuh pada 1917, era Perang Dunia Pertama. Bahkan, Soviet ini boleh dikatakan wajah baru bagi Empayar Rusia, direvolusikan dan muncul sebagai kuasa besar yang menggugat US. Dikatakan mereka antara yang terawal mengkaji Nuklear. Lenin yang mengepalai Revolusi tersebut mati pada 1924. 1918-1924 merupakan era kehilangan Khilafah Uthmaniah yang seiringan dengan kebangkitan Soviet.

Pax Britannica yang mendominasi kuasa dunia ketika itu baru saja selesai merobohkan pemerintahan Islam dengan rancangan yang licik, seterusnya merembat tanah-tanah wilayah Uthmaniah. Mereka berkongsi hasil ‘ghanimah’ dengan Perancis, dan mempunyai pengaruh terhadap kepentingan minyak Arab Saudi [1].  Kematian Lenin disambung oleh Stalin yang dilihat lebih kejam.

Namun, Stalin tidak sedap duduk kerana jiran sebelahnya Jerman bangkit sejak 1933 dengan Nazi yang dipimpin oleh Hitler. Lalu Soviet mengadakan perjanjian dengan Nazi pada 1939, tetapi dicabuli 2 tahun kemudian dengan pencerobohan Nazi. Kemaraan Nazi berjaya disekat oleh Tentera Merah Soviet pada 1943, di era Perang Dunia Kedua. Korban tentera Soviet yang beridealogikan Komunis Sosialis di era ini lebih 20 juta orang.

Persaingan nuklear dalam perang dingin

Walaupun bilangan korban yang ramai, namun dunia masih lagi gerun dengan kebangkitan Soviet khususnya negara-negara Barat. Reaksi negatif ini mewujudkan Perang Dingin yang berlaku antara 1947 hingga 1991 merupakan suasana ketegangan geopolitik setelah Perang Dunia II antara kuasa Blok Timur dan Blok Barat. Blok Timur dianggotai oleh Kesatuan Soviet dan rakan-rakan yang beridealogikan Komunis Sosialis dan Autokratik.

Manakala Blok Barat dianggotai oleh Amerika dan rakan-rakan yang beridealogikan Liberal Kapitalis dan Demokratik. Persaingan antara Soviet dan Barat menjahanamkan dunia. Amerika sahaja telah menguji sebanyak 1054 kali ujian Nuklear, diikuti dengan Soviet 715 kali ujian, Perancis 215 kali dan UK 45 kali. Letupan Nuklear di Nagasaki 9 Ogos 1945 mengorbankan sekitar 75 000 orang, manakala Nuklear di Hiroshima pada 6 Ogos 1945 mengorbankan sekitar 135 000 orang. 

Akhir 1970-an, Bom B83 pula dihasilkan oleh US yang mempunyai 80 buah Nuklear di Hiroshima. Castle Bravo pula bom yang dihasilkan oleh US pada 1954 yang menyamai 1000 Nuklear yang dijatuhkan di Hiroshima. 30 Oktober 1961 Soviet Union menjalankan ujikaji Tsar Bom yang menyamai 3300 kali ganda bom atom di Hiroshima. Gunung Everest berketinggian 20 035 kaki, manakala letupan Tsar Bom setinggi 209 974 kaki (lebih 10 kali ganda ketinggian Everest).

Persaingan yang panjang menghasilkan keputusan jatuhnya Soviet pada 1991. Walaupun ramai yang suka dengan kejatuhan Soviet yang dilihat kejam ini, jangan sampai terlupa bahawa Amerika juga sama kejamnya. Amerika yang beridealogi Liberal Kapitalis dilihat menumbangkan Empayar Komunis Sosialis. Perang Ideologi ini kelihatan sudah berakhir, hakikatnya belum lagi.

New World Order

Di penghujung persaingan dengan Soviet, George Bush, Presiden Amerika mengisytiharkan New World Order pada 11 September 1990. Walaupun secara zahirnya kelihatan mengekang Soviet, namun hakikatnya bertujuan meluaskan Empayar Pax Americana. Antaranya bertindak sebagai pengaman ‘kononnya’. Hakikatnya ingin campur tangan politik negara orang lain.

Contohnya pada 1990 berlakunya serangan Iraq ke atas Kuwait. Amerika bertindak dengan bertapak di kawasan Hijaz dan mengajak negara-negara Arab bersatu di bawah Amerika untuk menghalau Iraq dari Kuwait. Eksperimen berhasil apabila promosi ini mendapat sambutan dan pengaruh Amerika boleh menembusi Timur Tengah. Kejayaan campur tangan ini dilihat sebagai batu loncatan untuk merancang konflik, dan seterusnya campur tangan.

Setelah tamat Perang Dingin, Amerika mengkaji suasana politik seluruh dunia tercari-cari siapakan pesaing mereka selepas ini. Pada 1993, seorang pengkaji sains politik dari US, iaitu Huntington telah mencetuskan satu perbincangan skala baru di dalam karyanya ‘Clash Of Civilization’ menyenaraikan negara-negara yang berpotensi untuk muncul sebagai kuasa besar selepas kejatuhan Soviet.

Selain Barat, beliau menyenaraikan sebanyak 7 kuasa lagi yang berpotensi menguasai dunia, iaitu Amerika Latin, Cina, Hindu, Islam, Jepun, Orthodox, dan Afrika. Setelah diteliti ketujuh-tujuh tamadun ini, mereka dapati Islam agak berbeza dengan yang lain dari sudut catatan sejarahnya. Tamadun lain boleh ‘dikendurkan’ dengan Pluralism, tetapi Islam tidak mudah dikendurkan sedemikian.

Penulisan Huntington dan Islamophobia

Huntington menyatakan lagi bahawa, tamadun tidak lagi dibangunkan berdasarkan garisan sempadan pemerintahan, tetapi lebih kepada penguasaan maklumat. Lalu pada pertengahan 90-an perkataan globalisasi (العولمة) muncul seiringan dengan kemunculan internet jaringan maklumat. Ia ditafsirkan sebagai ‘dunia tanpa sempadan’ yang menyaksikan bagaimana rentak politik dunia akan beralih daripada perang persenjataan kepada perang maya [2].

Dalam keghairahan perluasan empayar Internet Amerika, mereka mendapati Islam secara senyap mula merebak hingga ke Barat. Barat yang mengamalkan kerajaan berkonsepkan Demokratik seolah-olah menjadi ‘backfire’ kepada mereka apabila ruang ini dimanfaatkan oleh Islam untuk menyebarkan dakwahnya. Seakan-akan tidak boleh disekat dengan sistem sedia ada, melainkan dengan melancarkan game baru.

Game yang mereka rancang ialah mewujudkan fenomena Islamophobia dengan drama pelanggaran WTC 11 September 2001. Sebelum menjayakan agenda tersebut mereka mewujudkan watak ‘superhero’ Islam yang diberi nama Osama bin Laden. Osama dikatakan mengadakan perbincangan tertutup dengan gerakan-gerakan Islam seluruh dunia. Namun, setelah pelanggaran 11 September 2001, maklumat perbincangan tersebut dibocor keluar.

Kebocoran seperti disengajakan dan sememangkan dirancang untuk mengaitkan Islam dengan keganasan. Maka, filem Islamophobia pun diwayangkan di seluruh dunia. Muncullah kumpulan al-Qaeda, ISIS dan sebagainya. Mereka yang terlibat dengan gerakan Islam yang dituduh terlibat dalam konspirasi ini, diburu hingga ke hari ini. US meletakkan diri mereka sebagai hero yang memerangi keganasan, dan negara-negara Islam diceroboh atas alasan bodoh ini.

Era globalisasi dan penguasaan dunia

Apa yang dipanggil era globalisasi?Jaringan globalisasi ini dipanggil sebagai Information Technology and Communication (ICT) yang bernadikan internet dan satelit. Sepertimana yang diceritakan, jaringan ini bertemakan ‘dunia tanpa sempadan’. Perkembangan dunia gajet berkembang pesat, sehingga munculnya pelbagai teknologi dan kemudahan berkomunikasi.

Kedai-kedai alam maya sudah wujud dan berkembang atas nama perniagaan online. Aplikasi seperti Grab, Uber dan sebagainya seolah-oleh menembusi pasaran antarabangsa. Orang di Benua Afrika boleh bercakap secara langsung dengan orang di Benua Asia. Begitulah seterusnya. Tiada sempadan dalam komunikasi yang dibina. Sudah pasti ICT ini dikuasai sepenuhnya oleh Amerika yang di belakangnya Israel atas tujuan menakluk dunia.

Teori yang dikemukakan oleh Huntington bahawa ‘sesiapa yang menguasai teknologi maklumat, mereka akan kuasai dunia’ semakin dicairkan dalam bentuk pelaksanaan. Justeru, teknologi ini mesti didahului oleh Amerika untuk kekal berkuasa. Ini kerana, sempadan geografi telah pun diterobosi oleh line-line internet. Justeru, mereka menjadikan teknologi maklumat ini sebagai bahan utama untuk mencipta propoganda

Inilah yang dinamakan sebagai Hoax [3], yang merupakan muqaddimah kepada Era Dajjal yang diselubungi dengan tipu daya. Contoh permainan Hoax apabila Amerika berhajat menyerang Syria untuk merebut bukit Golan, mereka akan gunakan ICT untuk menyebarkan propoganda bahawa Basyar Asad membunuh rakyatnya dengan senjata kimia. Manusia seluruh dunia akan mula bising dengan perangai Basyar.

Lalu, Amerika pun mengisytiharkan perang terhadap keganasan Basyar Asad, kononnya hendak membela rakyat Syria. Amerika pun melancarkan serangan ke atas Syria seolah-olah nak membela rakyat Syria. Hakikatnya nak menjahanamkan Syria untuk mendapatkan kepentingan air di Tasik Galilee yang bersumber dari Bukit Golan. Ini sebagai contoh yang diolah daripada peristiwa sebenar.

Catur permusuhan terhadap Islam

Dalam satu buku yang dikarang oleh Cheryl Bernand bertajuk ‘Civil Democtaric Islam’ membahagikan orang Islam itu kepada 4 jenis, iaitu Fundamentalis, Modenis, Tradisionalis dan Sekularis. Fundamentalis adalah golongan yang menterjemahkan Islam dari sudut kesempurnaannya. Golongan ini meletakkan matlamat mewujudkan pemerintahan Islam. Modenis pula adalah mereka yang membawa kemajuan ala Barat, mendakwa Undang-undang Islam lapuk dan sebagainya.

Golongan Tradisionalis pula bersifat konservatif, pesimis terhadap kemodenan, dan lebih menumpukan soal kerohanian dan keilmuan. Golongan Sekularis pula mempercayai bahawa agama itu hanya untuk peribadi dan tidak boleh diaplikasikan dalam bentuk kenegaraan. Pendefinisian Bernand ini bertujuan membuka mata Amerika untuk meletakkan musuh yang sebetulnya.

Atau dengan kata lain, ‘mereka tidak musuhi semua orang Islam, tetapi memusuhi sebahagian sahaja yang dianggap bermasalah dengan agenda Amerika’. Bernand meletakkan bahawa Fundamentalis adalah ancaman. Manakala Modenis perlu diberi peluang dan ditonjolkan. Golongan Tradisionalis perlu dilagakan dengan Fundamentalis. Manakala golongan Sekularis perlu dianggap sebagai rakan.

Inilah percaturan Bernand, bukan untuk ditelan bulat-bulat, tetapi perlu dikaji. Apa yang perlu kita kaji? Kita perlu memahami siapakah golongan yang ditakuti oleh Barat. Mereka menajamkan serangan kepada golongan Fundamentalis mengikut definisi mereka dengan dilagakan dengan Tradisionalis. Sebab itu kita tak pelik apabila munculnya agamawan yang rigid dengan istilah-istilah Haraki, seperti usrah, wala’, thiqah, sirr, hazar dan sebagainya.

Memahami pertentangan Islam dan Barat

Saya kongsikan hal ini supaya kita faham apa yang dimusuhi oleh Barat. Kita tidak perlu terikat dengan pendefinisian dan pengkelasan Bernand. Sebaliknya kita sebagai umat Islam perlu mengikat diri kita dengan gerakan Islam dan tuntutan-tuntutannya. Barat suka para agamawan bercakap bab perselisihan mazhab, perselisihan muhaddith dan sebagainya, berhati-hatilah dengan pendekatan itu.

Barat sukakan Umat Islam menghabiskan staminanya untuk bergaduh sesama sendiri. Mereka sukakan agamawan yang tidak terlibat dengan politik, berhati-hatilah dengan pendekatan itu. Mereka suka dengan pembawaan agamawan yang menyeru meninggalkan dunia politik. Mereka sukakan Umat Islam terus tidur dicandu dengan perkara-perkara fantasi yang dimanipulasi daripada agama. Contohnya, agamawan yang bersungguh menceritakan tentang kasyaf, tetapi bencikan gerakan Islam.

Mereka sukakan Umat Islam yang terus menerus ber uzlah, mencari gua-gua untuk menjauhkan diri dari masyarakat. Mereka sukakan konsep Uzlah acuan Sekularism, tetapi mereka bencikan Uzlah yang melahirkan mujahidin di medan Jihad. Ketahuilah, antara yang dituntut ialah sentiasa bersikap menambah ilmu, dan faham. Kefahaman terhadap Islam yang syumul, dan kecerdikan terhadap strategi musuh yang sentiasa menipu.

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1200757120117759&id=251201991739948

- Advertisement -

[2]https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1191125067747631/

[3] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2539613232736104&id=100000623571778

HARAKAHDAILY 15/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -